Followers


Friday, March 23, 2012

WHAT AFTER SPM?: MENGEJAR CITA-CITA

Assalamualaikum

Tahniah kepada adik-adik lepasan SPM 2011 dengan keputusan yang diperolehi. Apapun keputusannya, jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT. Walaupun SPM telah berlalu, namun kehidupan sebagai seorang hamba Allah perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan. Artikel ini baik untuk difahami, kemana arah tuju sebenar kita dalam menempuh hari-hari mendatang. Ia tidak terhad kepada lepasan SPM, semua yang mahu mengejar cita-cita juga harus membacanya. Moga Ianya bermanfaat. InshaAllah.


MENGEJAR CITA-CITA

SMiK sToRy_5_Let's_Go_Home_01 by Deviantart


Setiap kali tibanya saat keputusan peperiksaan utama diumumkan, maka persoalan cita-cita kembali hangat diperkatakan. “Apa cita-cita awak?” “Awak nak jadi apa?” “nanti dah besar nak kerja apa?” dan berbagai lagi ragam soalan yang membawa makna yang hampir sama sering berlegar di kalangan para pelajar yang baru menamatkan alam persekolahan, mahupun ibu bapa mereka yang perihatin akan nasib dan masa depan anak-anak mereka.

Bahkan yang lebih gawat, jika dahulu anak-anak yang agak dewasa atau yang telah selesai persekolahan sahaja gusar soal kerjaya, cita-cita dan laluan peningkatan kehidupan mereka, tapi kini soal cita-cita telah mula difikirkan oleh anak-anak kecil sejak di tahap tadika lagi. Seolah-olah, generasi kini didesak memikirkan masa depan mereka seawal usia yang masih kecil. Di saat anak-anak ini baru ingin mengenal dunia, baru hendak bertatih dan belajar kemahiran hidup, mereka telah disogokkan dengan soalan “dah besar nanti nak jadi apa?” “nanti nak kerja apa?”

Satu pemerhatian lagi, yang lebih merisaukan adalah tiadanya cita-cita di kalangan pelajar yang baru tamat persekolahan ini. Saya bertemu beberapa remaja, atau dihubungi oleh remaja, yang nampaknya masih keliru akan laluan kerjaya mereka. Setelah tamat sekolah, mereka masih keliru akan bidang yang ingin mereka ceburi. Bahkan ada yang terus terang mengatakan mereka masih tiada cita-cita. Ada yang tidak nampak lagi apa yang hendak buat lepas tamat sekolah nanti. Hendak sambung bidang pengajian apapun masih kabur lagi. Apa yang diminati pun tak pasti. Apa yang diminati, tak mampu dipelajari, atau tak cukup syarat pula untuk sambung belajar.

Begitu juga mereka yang telah bekerja, atau telah tamat pengajian tinggi. Ada yang mengadu pada saya, tidak minat bidang yang diceburi. “Saya tersalah pilih bidang…” “Kenapa lah saya belajar subjek ni? Tak guna pun dalam kerja sekarang ni!” “setelah beberapa tahun kerja bidang ni, saya tak nampak ke mana saya nak tuju…” “dah lebih sepuluh tahun saya buat kerja ni, tapi cita-cita saya masih belum tercapai…”. Kategori ini lebih parah, kerana mereka hidup dalam keadaan memendam cita-cita dan harapan. Derita dalam diam.

Hakikatnya, inilah fitrah manusia, tidak pernah puas dengan apa yang diperolehi. Di dalam satu hadith Rasulullah SAW, mafhumnya

“Jika diberikan satu wadi (lembah) emas kepada anak Adam, nescaya dia akan mencari lembah yang kedua, tidak pernah cukup, sehinggalah tanah memenuhi mulutnya (iaitu mati)”

Ketika membicarakan persoalan ini, guru saya berkata, jika kita dapat bertanya kepada mereka yang di dalam kubur, apakah telah tercapai cita-cita mereka? Nescaya lebih 90% akan berkata bahawa mereka mati sebelum sempat mencapai cita-cita kehidupan. Atau mati ketika sedang mengejar cita-cita.

Cita-cita tidak pernah habis. Keinginan dan hajat manusia sentiasa bertambah. Jika digambarkan hajat, keinginan dan cita-cita kita sebagai satu makhluk bernyawa, nescaya gambarannya ibarat seekor raksasa besar, yang lahap dan tidak pernah cukup kemahuannya. Cita-cita yang tidak terurus, akan mendatangkan bencana dalam kehidupan, sebaliknya, jika raksasa ini dapat dijinakkan, maka ianya akan memberi kekuatan dan kehebatan kepada tuannya.

Justeru, kita perlu bijak merancang, menetapkan dan mengawal cita-cita. Hidup tanpa cita-cita, ibarat bahtera tanpa layar dan kemudi, akan hanyut dibawa arus, atau karam dipikul badai. Tetapi cita-cita yang tak terkawal, mungkin juga berbahaya seperti speed-boat yang hilang kawalan. Juga pasti membahayakan.

Jika cita-cita diibaratkan sebagai kompas, ia akan memandu arah perjalanan hidup kita. Jika cita-cita ibarat tenaga keupayaan yang terpendam, ianya ibarat bateri yang memberi kuasa untuk mencerahkan kehidupan. Jika cita-cita ibarat enjin yang menggerakkan, maka ianya adalah jentera terkuat untuk menunaikan kerja dan tugasan. Kuasa cita-cita adalah begitu hebat, kerana ianya memberi erti dan makna kepada kehidupan.

Hidup tanpa cita-cita, pasti rugi, tewas dan parah. Cita-cita yang rendah dan tidak berkadaran dengan potensi, adalah suatu yang merugikan, kerana potensi diri disia-siakan. Cita-cita yang tidak terurus, hanya mengundang kecewa. Gagal mencapai cita, perlu kekuatan luar biasa untuk menanganinya.

Namun kita yakin, gagal mengejar cita-cita, bukan penamat kehidupan. Kita juga masih boleh, mengubahsuai cita-cita, atau mensasarkan cita-cita yang lain. Cita-cita juga perlu dinamik, berkembang dan diubahsuai sejajar dengan perubahan dan perkembangan kehidupan kita. Kebolehlenturan (flexibility) cita-cita adalah rahsia kejayaan untuk mampu bertahan.

Pernah dalam satu ceramah kerjaya, saya tekankan kepada para pelajar yang hadir, betapa pentingnya memiliki sifat positif dan flexible dengan bidang yang diceburi. Nasihat saya kepada mereka
“kita perlu minat apa yang kita buat, dan buat apa yang kita minat”
Inilah petua kebolehlenturan dalam bekerjaya. Apabila tamat sekolah, sambunglah pelajaran dan buatlah apa jua bidang, tapi yang penting, perlu minat apa yang kita lakukan atau pelajari. Jika ambil bidang perubatan, pastikan pelajar betul-betul minat nak belajar perubatan. Minat apa yang kita buat, menjadi pendorong untuk pelajar menamatkan pengajian. Janganlah berhenti dipertengahan jalan, atau membuat apa yang kita tak minat, kerana nanti akan merana sepanjang tiga atau empat tahun di kolej.

Tetapi apabila sudah tamat pengajian, bila segulung ijazah sudah di genggaman, maka saat itu, bermulalah untuk kita buat apa yang kita minat. Ijazah adalah pra-syarat untuk memasuki pasaran buruh dan alam pekerjaan. Apabila sudah mula bekerja, maka berusahalah untuk mencapai apa yang anda minat. Kemungkinan kita baru sedari, bahawa kita meminati bidang yang tak berkaitan dengan apa yang kita pelajari di universiti, jangan risau, kecewa, ralat atau terkilan, kerana kini anda sudah boleh memilih untuk buat apa yang kita minat.

Apabila kita jelas apa yang kita minat, dan buat apa yang kita minat, maka kita berada di laluan pantas menuju cita-cita kehidupan kita. Selaraskan kembali cita-cita kita, dengan minat dan keupayaan kita, ditambah dengan ilmu, pengalaman, kemahiran dan kenalan yang diperolehi sepanjang jalan kehidupan, adalah resepi kejayaan hidup yang terbaik.

Maknanya, masih tidak terlambat, dan tidak salah untuk kita menukar cita-cita, atau mengubahsuai cita-cita yang hendak kita kejari dalam hidup ini. Seketul batu yang bergolek, dan sentiasa bergerak, tidak akan mengumpul lumut dan kotoran, bahkan akan berkilat, atau kata-kata Inggerisnya “a rolling stone shines”. Batu yang berlumut dan berlumpur, adalah yang terperuk di tanah dan tidak dihiraukan.

Oleh itu, gilaplah potensi diri kita. Jangan limitkan kemampuan kita untuk berjaya. Sekali gagal, belum bererti gagal selamanya. Jatuh sekali, segeralah bangkit semula mengejar harapan. Tewas kali pertama, adalah langkah untuk menggapai kemenangan. Permata yang berkilau, hakikatnya juga adalah sejenis batu, yang telah digilap potensinya.

Bangkit dari jatuh juga perlu kekuatan, kerana graviti bumi sentiasa menarik kita ke bawah. Ingin naik ke atas, perlu daya dan tenaga, kerana tarikan graviti itu amat kuat ke atas kita. Sekali melonjak ke atas, pastikan kita punyai cukup stamina untuk kekal di atas. Ibarat kayuhan pendaki basikal ke puncak bukit, mana boleh berhenti? Berbasikal naik bukit, perlu stamina dan kekuatan berterusan hinggalah ke puncak. Seketika berhenti kayuhan, maka graviti akan menarik basikal untuk melurut ke bawah. Justeru, kayuhan mengejar cita-cita yang tinggi, tiada waktu rehatnya. Kita hanya akan berehat, bila ajal menjemput kita pulang.

Memiliki cita-cita yang tinggi, adalah sifat yang mulia. Kemuliaan dan kehebatan manusia, kerana punyai cita-cita yang tinggi. Mereka yang bercita-cita tinggi, lazimnya akan lebih berjaya, hebat dan maju dalam kehidupan. Cita-cita yang lemah dan rendah, mudah dicapai, tetapi tidak mengundang pengiktirafan.

Maka sasarkan cita-cita yang tinggi. Jika belajar, biarlah sampai ke tahap tertinggi yang termampu. Bekerja pula, capailah ke tahap tertinggi. Bagi pengusaha dan peniaga, paculah perniagaan dan perusahaan ke tahap tertinggi. Jika kita bercita-cita ingin menggapai bintang, tak dapat bintang, sekurang-kurangnya dapat naik ke bulan. Dan semua ini perlu bermula dari awal, bak kata orang tua-tua kita dahulu;

“timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap

belum tumbuh gigi, dah pandai baca kitab”.

Tanamkan cita-cita tinggi, dan mulakan dari awal. Berpagi-pagi mencari rezeki, ibarat burung yang keluar awal, berkicauan mencari rezeki. Pasti insyaAllah, pulang petangnya membawa rezeki yang baik.

Persoalannya, setinggi manakah nak diletakkan cita-cita kita? Cita-cita yang bersifat material, mungkin boleh disukat nilai, angka dan takatnya. Tetapi jika dah dicapai, contohnya mencapai pendapatan RM2juta setahun, apakah di situ terhentinya cita-cita kita? Ini yang kita sebutkan pada awal artikel tadi, bila dah capai, nak tambah lagi. Maka apa kesudahannya? Kita mungkin penat mengejar cita-cita, atau mati dan terkorban dek pengorbanan mengejar cita-cita.

Cita-cita untuk mati, pastinya suatu yang janggal. Amat pelik, seorang yang hidup, cita-citanya adalah ingin mati. Tetapi bercita-cita mati dalam perjuangan di jalan Allah, menjadi satu kematian yang amat mulia dan agung. Mati syahid dalam mempertahankan syahadah, adalah kemuncak cita-cita para mukmin. Bila bertemu kehidupan dan kematian, ianya adalah suatu yang hebat, kerana yang mati syahid itu, hakikatnya akan terus hidup dalam redha Allah SWT.

Maka marilah kita susun atur kembali sasaran dan senarai cita-cita kita, dan pastikan, cita-cita tertinggi dan teratas di dalam senarai itu, adalah untuk mati dengan husnul-khatimah, pengakhiran yang terbaik, mati dalam Islam, Iman dan Ihsan.

Jadikanlah amalan untuk berdo’a 
“Ya Allah, khatamkan kehidupan kami dengan husnul-khatimah, jangan tamatkan riwayat hidup kami dengan kesudahan yang buruk”

Oleh itu, para ‘arifin telah memberikan panduan yang amat berharga dengan ungkapan berikut:
“al-mautu fi sabilillahi asma’ amalina”
“Mati di Jalan Allah, adalah cita-cita kami tertinggi” 


Oleh :  Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili - SOLUSI BIL 42
klik untuk link




No comments:

stat tracker

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme