Followers


Wednesday, March 14, 2012

PERHIMPUNAN AMAN UNTUK RAKYAT SYRIA



Isu Syria telah menjadi perbualan hangat masyarakat di seluruh pelusuk dunia mutakhir ini. Hakikatnya segala rentetan episod sejarah yang berjaya dirakamkan telah membuktikan dengan jelas bahawa kekejaman pemerintah terhadap rakyat di Syria telah bermula sejak berpuluh-puluh tahun lagi. Pelbagai konspirasi politik, penyembunyian fakta, dan manipulasi media yang berlaku menyebabkan masyarakat tidak pernah tahu hakikat rentetan kekejaman yang berlaku. Hingga kini, wujudnya media-media baru yang berorientasikan bebas dan tidak menyebelahi mana pihak, maka terserlah kekejaman kerajaan Syria yang kini diwariskan dan dipelopori oleh Bashar al-Asaad.

Bashar al-Asaad dan keluarganya adalah dari kumpulan Alawi, yang telah dihukum terkeluar daripada Islam dan Syiah. Ia adalah dari jalur baathiniyyah an-nusairiyyah dalam mazhab Syiah Ismailiah al-Waqifah. Alawi dihukum keluar daripada Syiah kerana pegangannya yang sangat melampau. Antaranya ialah metakwilkan ibadah solat dengan makna mematuhi imam, bukannya rukuk dan sujud seperti yang kita faham. Keyakinan mereka ialah, sesiapa yang mengetahui hakikat sesuatu syariat, akan terlepas daripada tanggungjawab syariat tersebut.

Syiah Imamiyyah (atau Ja’fariyyah) yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk Iran dan Hizbullah adalah masih dianggap sebagai min ahli Islam, tidak kafir. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik adalah antara ulamak besar yang berguru dengan Imam Ja’far as-Sodiq yang menjadi pengasas kepada aliran ini.

Secara prinsipnya, walaupun Syiah Imamiyyah dan Alawi ‘berseteru’, sokongan kerajaan Iran ke atas Bashar al-Asaad adalah atas dasar mengukuhkan kepentingan mereka dalam melebarkan pengaruh Syiah (Imamiyyah) meliputi Iran, Syria dan Lubnan.

Sebenarnya, Alawi telah memberi mandat ini kepada Iran sejak lama dahulu bagi mendapatkan pengiktirafan kerajaan Iran untuk mengesahkan bahawa Alawi juga adalah Syiah (atau Islam). Pengiktirafan ini perlu bagi membenarkan Alawi diangkat sebagai pemerintah Syria sebagaimana yang telah ditentukan di dalam perlembagaan Syria.

Tindakan Iran menyokong kerajaan Syria akan merugikan dunia Islam apabila ia dilihat telah menyokong kezaliman sebuah kerajaan ke atas rakyatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia Arab sedang mengalami kebangkitan. Sepatutnya, Iran sekurang-kurangnya menjadi pihak yang berperanan menggerakkan bantuan kemanusiaan.

Israel dan AS pula masih berminat dengan projek tenaga nuklear Iran. Kejayaan projek ini akan mengancam kedudukan mereka sebagai kuasa besar dunia. Walaupun telah dinafikan Iran bahawa projek ini bukan untuk tujuan persenjataan, tidak dapat tidak, mereka tetap akan mencari jalan bagi menggagalkan projek ini.

Kemungkinannya, sokongan Iran ke atas pemerintahan Bashar al-Asaad akan dijadikan alasan oleh AS untuk menyerang Iran di atas nama membanteras kegaganasan setelah ia dilihat gagal untuk campur tangan dalam isu Syria melalui pelaksanaan draf resolusi keselamatan PBB apabila Rusia dan China menolak draf tersebut. Campur tangan itu perlu untuk memastikan kedudukan dan pengaruh Iran tidak akan terus kukuh. Rusia dan China pula perlu mempertahankan Syria yang merupakan blok sosialisme/komunisme terakhir mereka.

Walaupun ‘bermusuh’ dengan Iran, namun, bagi AS dan Israel adalah lebih baik untuk mengekalkan kerajaan Bashar al-Asaad di Syria daripada membenarkan rakyat menang dan berkuasa. Ini kerana, kebangkitan rakyat yang berlandaskan dengan kesedaran kemanusiaan dan kesedaran Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi apabila ia dipimpin oleh para ulamak, sudah pasti akan mengukuhkan kedudukan ‘musuh-musuh’ mereka.

Pada masa yang sama, Bashar al-Asaad akan tetap memastikan Alawi kekal sebagai pemerintah Syria. Justeru, siapa pun yang melawan, pasti akan ditentang, walaupun rakyatnya sendiri, mahupun keturunannya.

Kini, demonstrasi diadakan hampir setiap hari. Pesan ulamak kepada rakyat Syria ialah demonstrasi mestilah berlaku secara aman (tsaurah silmiyyah), tanpa pertempuran bersenjata. Bagi berhadapan dengan tentera kerajaan yang zalim dan bersenjata pula, mereka serahkan kepada jaishu al-hurr (tentera yang tidak memihak kepada kerajaan). Malangnya, rakyat tetap juga menjadi mangsa kepada kekejaman Bashar al-Asaad. Ulamak-ulamak Islam dan muslim seluruh dunia wajib mengecam dan menentang kezaliman ini.

Melihat kepada situasi sehingga sekarang, keadaan ini dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang tidak singkat. Bashar al-Asaad mahu berkuasa. Rakyat pula mahu perubahan dan menuntut keadilan. Di pihak rakyat, kebangkitan yang telah bermula ini perlu diteruskan. Daripada mati diburu Bashar al-Asaad setelah regimnya berkuasa, lebih baik mati dalam perjuangan menjatuhkan kerajaan Bashar al-Asaad. Hidup mulia, mati syahid!

Apa yang akan berlaku berikutnya, MUNGKIN adalah sama ada Bashar al-Asaad berjaya menguasai kembali rakyatnya ATAU rakyat berjaya menumbangkan Bashar al-Asaad ATAU berlaku perang besar Israel-AS vs Hizbullah-Iran di Syria. Wallahua’lam, hanya Allah Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku. Kemenangan Islam? PASTI!



oleh : Eikhwan Ali ( Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia, mantan presiden Ma’ruf Club 2010/2011 )





No comments:

stat tracker

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme