Followers


Wednesday, August 21, 2013

[MALAY] Kenyataan Rasmi Solidariti untuk Rakyat Mesir

[MALAY] Kenyataan Rasmi Solidariti untuk  Rakyat Mesir

 

Bismillahirrahmanirrahim.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kelab Kewartawanan UIAM (JC IIUM) dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengecam tindakan kejam dan zalim pihak tentera Mesir di bawah pimpinan Jeneral Abd Fatah al-Sisi terhadap rakyat marhaen Mesir yang terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan wanita.

JC IIUM juga mengutuk pembunuhan beramai-ramai oleh tentera dengan alasan menyuraikan demonstrasi aman bagi mengembalikan Dr. Mohamed MorsI sebagai Presiden yang sah. Ia jelas melanggar prinsip hak asasi kemanusiaan kerana tugas pihak tentera adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukan sebaliknya. Tindakan kerajaan tidak sah Al-Sisi yang mengisytiharkan pemerintahan darurat selama sebulan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi perlu dibubarkan segera.

Justeru kami menggesa orang ramai untuk menyatakan solidariti dan sokongan padu ke atas Presiden Mesir yang sah, Dr. Morsi dan rakyatnya yang tertindas oleh kezaliman pihak tentera tempatan.

Kami menyeru pihak kerajaan, NGO-NGO, parti-parti politik dan rakyat Malaysia untuk bertegas menggunakan seluruh pengaruh politik dan diplomatik untuk memberi tekanan serta mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera dan kerajaan interim Mesir serta untuk menghentikan pembunuhan dan kekejaman terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman yang menuntut hak demokrasi mereka.

Kami menyeru supaya kerajaan, semua pertubuhan, kelab dan organisasi di seluruh Malaysia sebulat suara mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah sekeras-kerasnya tindakan zalim tentera Mesir terhadap rakyatnya."

Kami juga menyeru para mahasiswa, juga rakyat Malaysia supaya berusaha mendapatkan berita yang ternyata sumber kesahihannya bagi mengelakkan fitnah yang kelak boleh memudaratkan. Seluruh rakyat Malaysia juga diharap dapat bersama-sama menjayakan perang media dalam memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang situasi sebenar yang melanda Mesir.

Kami juga mengajak mahasiswa dan mahasiswi UIAM untuk bersama-sama seiring dalam dokongan terhadap gerakan#R4BIA yang menjadi lambang solidariti dunia untuk menyokong hak rakyat Mesir.

Antara usaha praktikal lain daripada mahasiswa dan rakyat Malaysia terhadap mustadhafin Mesir adalah dengan mengimarahkan masjid-masjid dengan bacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu. Langkah lain juga termasuklah mendirikan solat jenazah ghaib untuk para syuhada’ yang telah gugur syahid.

“Tidak perlu menjadi rakyat Mesir untuk berhimpun, cukup menjadi manusia biasa yang berperikemanusiaan.” (Recep Tayyib Erdogan, 2013)

Yaa Rabb, tahfadz Misr waahlahaa!

Mohd Nur Helmi bin Ngalimi,
Presiden,
Kelab Kewartawanan UIAM,
Sesi 2012/2013
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments:

stat tracker

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme