Followers


Sunday, October 2, 2011

SURAH AT-TAUBAH AYAT 18 DAN 107-110

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, nahmmaduhu wanasta’enuhu wanastaqfiruh. Wa na’uzubillahi min shururi anfusina, wa minsayyia ’amalina. Man yahdillahu fala mudhillalah, waman yudhlil fala hadiyalah.

Dalam Surah At-Taubah, sudah banyak Allah beri peringatan kepada kita khususnya menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul manusia untuk beribadah kepada Allah SWT. Sayang sekali sekiranya masjid tidak dihidupkan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ


"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk." [Surah At-Taubah:18]


Masjid Taqwa dan Masjid Dhirar

Di dalam kitab suci Al-Quran, masjid terdapat bermacam-macam. Pertama ialah Masjid Taqwa dan kedua ialah masjid DHIRAR. Masjid Taqwa ialah masjid yang dibangunkan atas dasar iman dan taqwa, untuk mencari keredhaanNya dan bukan untuk maksud yang lain.

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

“Seseungguhnya masjid yang didirikan atas iman dan Taqwa itulah yang Hak dimana engkau beribadat, dan didalamnya terdapat orang-orang yang ingin menyucikan diri dan Allah SWTsangat suka akan orang yang menyucikan diri.”
[Surah Attaubah:108]

Manakala Masjid DHIRAR pula masjid yang dibangunkan untuk memecahkan kekuatan umat islam dan didirikan atas dasar ke’munafik’an dan permusuhan terhadap dasar atau sistem Islam.
Tapak masjid dhirar di Quba.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
 
“Dan mereka (orang-orang munafik) itu telah membangunkan masjid kerana hendak menimbulkan bahaya, kerana kekafiran mereka memecahkan kesatuan antara orang mukmin dan serta untuk menunggu kedatangan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka dengan pasti bersumpah, “kami hanya menghendaki kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa mereka itu pendusta (dalam sumpah mereka)."
[Surah Attaubah:107]

Masjid dhirar ini telah wujud sejak dari zaman nabi, dimana mereka mengasingkan diri daripada orang-orang mukmin untuk memecah belahkan umat islam ketika itu. Masjid pertama yang mereka dirikan alah di Quba. Kita boleh lihat sejarah peninggalannya sehingga ke hari ini.


“Orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu”


Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sejak dahulu ialah seorang pendeta Nasrani bernama Abu ‘Amir yang mereka tunggu-tunggu kedatangannya dari Sham (sekarang Syria) unruk melaksanakan solat di mana mereka dirikan (orang-orang munafik) serta membawa tentera-tentera Romawi yang akan menyerang orang muslim.



Dengan Keizinan Allah, Abu ‘Amir mati dalam perjalanan dari sham dan Rasulullah SAW telah meminta Sahabat-sahabat baginda untuk merobohkan masjid setelah turunnya wahyu kepada baginda setelah kembali dari perang Tabuk.

Perkara ini bukan baharu. Pada zaman kini di mana sistem jahiliyah digunakan, Sangat ramai yang menjadikan agama hanya sebagai trademark ataupun identiti diri. Mereka menerima Islam bukan secara menyeluruh tetapi mengambil sebahagian tanpa rasa kesal dan takut akan seksaan Allah SWT dan amaran Rasulullah SAW. 


Mereka inilah yang dinamakan orang-orang yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya seperti ayat 107, surah At-Taubah. Mereka inilah golongan yang menjadikan Islam hanya untuk memperoleh kepentingan diri.


“Kami hanya menghendaki kebaikan”


Orang-orang munafik selalu memberikan alasan bahawa mereka selalu menginginkan kebaikan, namun niat disebalik dan terselindung hanyalah mahu meruntuhkan Agama Allah. Mereka terdiri daripada golongan Jahil, orang-orang fasiq dan orang yang mengidamkan syariat Islam dan system Islam tidak dihidupkan dan menghalangnya daripada dilaksanakan.


Mereka menggunakan kejahilan untuk mencapai kepuasan nafsu mereka tanpa mengambil pengajaran dan iktibar daripada ajaran Rasulullah yang menyuruh menjadikan masjid tempat memperoleh ilmu, tempat ibadah dan tempat mengukuhkan ukhuwwah Islamiah. Mereka inilah golongan yang telah Allah sesatkan untuk mengenal kembali Islam sebagai agama yang syumul.

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api Neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang zalim."
[Surah At-Taubah:109]

لَا يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إِلَّا أَن تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ


"(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." 
[Surah At-Taubah:110] 


Pemuda dan Program-program di Masjid

Dalam menghadapi gaya hidup di zaman modenisasi dan cara hidup kebaratan, pelbagai inisiatif perlu dilakukan oleh masyarakat yang faham akan Islam. Golongan yang cakna dengan masalah remaja perlu tampil memberikan khidmat terbaik dalam memurnikan Islam alam diri anak-anak muda. Sebagai contoh menjadikan masjid sebagai tempat kegiatan remaja.

Masjid perlulah di imarahkan dengan program-program khas sesuai untuk remaja bagi menarik perhatian golongan ini untuk ke masjid. Dari situ, proses pentarbiyahan perlu dilakukan bagi memulihkan akidah dan akhlak supaya cahaya Islam sampai ke dalam diri mereka.

Jangan jadikan Masjid sebagai tempat untuk satu golongan sahaja khususnya warga yang sudah berumur. Ini kerana kita mengabaikan sikap bertanggungjawab kepada masyarakat dalam mendidik mereka supaya menjadi orang yang bertaqwa. Perkara ini perlu jelas bagi memastikan setiap golongan berhak menerima jamuan rohani di Masjid.


Peranan Pemimpin 

Pemimpin perlulah memainkan peranan sebenar melaksanakan Amar makruf dengan menjadikan masjid sebagai ‘Hotspot’ bagi aktiviti golongan muda meraih manfaat daripadanya bagi mengelakkan mereka terjerebak dengan perkara-perkara MUNKAR. Bukan menyekat aktiviti-aktiviti yang mereka rasakan tidak memberikan manfaat kepada mereka (pemimpin). Masjid bukan hak milik individu, tetapi hak setiap masyarakat yang beragama Islam.

Bagaimana mahu menyelamatkan golongan muda tetapi menyekat pelbagai kegiatan kerohanian untuk dijalankan di masjid? Sebagai pemimpin dalam masyarakat, mereka perlulah bersikap lebih toleransi dan adil dalam memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira status sosial dan fahaman dengan menyediakan program-progran ilmiah untuk golongan muda supaya mereka lebih dekat dengan masjid seterusnya mentarbiyah diri mereka menjadikan Islam sebagai cara hidup. 


Wallahua’alam.



Rujukan:


-Al-Quran
-www.searchtruth.com
-(H. Idris Ahmad S.H, 1982), Fiqh menurut mazhab Shafi’I, Pustaka Antara, Kuala Lumpur.


No comments:

stat tracker

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme